Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) meneruskan kempen pembarigaan Keselamatan Jalan Raya ke sekolah-sekolah rendah, iaitu ke Sekolah Rendah Anggerek Desa, Berakas.
Taklimat diadakan bertujuan untuk menyampaikan pendidikan dan kesedaran keselamatan jalan raya kepada lebih kurang 100 murid dalam lingkungan usia enam hingga 12 tahun, yang mana melalui pembarigaan di peringkat sekolah rendah itu diharap murid-murid akan dapat mempraktikkan dan membudayakan amalan-amalan keselamatan jalan raya bagi diri mereka sendiri, kawan sebaya dan keluarga.
Sesi pembarigaan meliputi topik-topik utama berkaitan keselamatan jalan raya melalui tayangan 11 pita klip animasi (cartoon) pendidikan seperti pentingnya tali pinggang keledar, menggunakan jejantas apabila menyeberang jalan raya, menggunakan laluan menyeberang di jalan raya (zebra crossing) dan sebagainya.
Di samping itu, murid-murid sekolah juga didedahkan dengan aktiviti interaktif demi memastikan perkara-perkara yang disampaikan pada taklimat tersebut dapat dihayati dan difahami dengan lebih berkesan.
MKKJR mengaturkan jadual pembarigaan kepada sekolah-sekolah rendah di Daerah Brunei dan Muara dalam usaha untuk mensosialisasikan kesedaran keselamatan jalan raya daripada usia yang rendah. Dalam pada itu, apa yang ditaklimatkan dapat menjadi budaya dan amalan mereka daripada kecil untuk menjadi pengguna jalan raya yang bertanggungjawab, berdisiplin dan berhemah.