Sign In
portfolio web templates

Sidang Media Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR)

25/05/2022
http://www.mkkjr.gov.bn/Images1/news/2022/pc%20mkkjr.jpg

1. Sebagai usaha berterusan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dan mengurangkan kadar kemalangan di Negara ini terutama sekali yang melibatkan kematian dan kecederaan, MKKJR ingin mengongsikan perkembangan mengenai statistik berkaitan kes-kes kemalangan dan kesalahan lalulintas jalan raya serta inisiatif-inisiatif yang sedang dan akan dilaksanakan pada tahun ini.

Statistik kemalangan jalan raya 2021 & suku pertama tahun 2022

2. Pada tahun 2021, jumlah kes kemalangan yang direkodkan adalah sebanyak 2,812 yang mana 343 adalah kes yang melibatkan kecederaan ringan dan parah manakala 16 daripadanya melibatkan kehilangan nyawa. Bagi tahun 2022 sehingga bulan April, jumlah kes kemalangan jalan raya di Negara ini adalah sebanyak 315 yang mana 07 daripadanya adalah yang mengakibatkan kehilangan nyawa.

3. Hasil penelitian ke atas statistik kemalangan bagi tahun 2021 dan 2022 telah mendapati beberapa penemuan seperti berikut:

i. Golongan tertinggi yang terlibat di dalam kes-kes kemalangan jalan raya khususnya yang melibatkan kehilangan nyawa dan kecederaan adalah terdiri daripada pemandu lelaki yang berumur di antara 18-38 tahun;
ii. Jumlah pemandu yang baru lulus ujian Lesen Memandu dalam tempoh satu ke dua tahun juga adalah tinggi; dan
iii. Di antara punca kes yang melibatkan kehilangan nyawa adalah disebabkan oleh kegagalan pemandu mematuhi peraturan jalan raya seperti melanggar lampu merah, gagal menggunakan tali pinggang keledar dan tidak mematuhi arahan lalulintas jalan raya.

Program-program dan Inisiatif-inisiatif Keselamatan Jalan Raya

4. Dalam hal ini, pihak MKKJR dengan kerjasama agensi-agensi Kerajaan, Sektor Swasta dan Persatuan-Persatuan bekenaan akan terus mengadakan program-program dan initiatif-initiatif untuk meningkatkan keselamatan jalan raya. Antara program-program dan inisiatif-inisiatif yang telah di rancang pada tahun ini adalah seperti berikut:

i. Meneruskan taklimat Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya yang melibatkan sektor awam dan swasta dengan perkongsian perangkaan kemalangan dan memfokuskan kepada etika pemanduan; dan
ii. Pemberigaan secara berterusan mengenai budaya keselamatan jalan melalui media massa, seperti televisyen dan radio, media sosial, kaunter-kaunter kerajaan dan laman sesawang dan juga melalui Khutbah Jumaat.

Kerja-kerja penambahbaikan sistem dan infrastruktur

5. Pada masa yang sama, MKKJR melalui agensi-agensi yang berkaitan juga telah dan akan terus melaksanakan kerja-kerja penambahbaikkan ke atas infrastruktur-infrastruktur jalan raya khususnya kawasan-kawasan yang sering berlakunya kemalangan jalan raya atau ‘hot spot’. Antara usaha-usaha penambahbaikkan adalah dengan pemasangan Variable Message Sign (VMS) oleh pihak Jabatan Kerja Raya di Jambatan SHOAS, pemasangan rumble strip, tanda-tanda had laju dan tanda memperlahankan kelajuan juga telah di pasang di beberapa lokasi yang sering berlaku kemalangan.

6. Antara inisiatif-inisiatif lain yang telah dilaksanakan oleh pihak MKKJR bersama PPDB, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Hal Ehwal Masjid pada tahun ini ialah dengan mengadakan pemeriksaan ke beberapa buah masjid di Daerah Brunei Muara bagi mengenalpasti kemudahan-kemudahan dan tahap keselamatan bagi pengguna jalan raya di kawasan persekitaran masjid-masjid berkenaan. Hasil lawatan telah mencadangkan beberapa tindakan penambahbaikan seperti menambah dan menyediakan Lorong/pavement bagi pejalan kaki, menukar Centre Red Median kepada Road Red Median dan memasang rumble strip di hadapan Jalan masjid berkenaan. Inisiatif-inisiatif ini juga akan di teruskan ke masjid-masjid lain.

7. Menaik taraf sistem Road Accident Data Enhancement and Development (RADED) dengan memasukkan fungsi data analytics bagi memudahkan penganalisaan dan mendapatkan maklumat dengan tepat dan teratur bagi merancang perlaksanaan dasar dan tindakan yang bersesuaian.

Statistik kesalahan lalulintas jalan raya

8. Dari statistik Jabatan Siasatan Kawalan Lalulintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bagi tahun 2021 telah merekodkan sebanyak 18,495 kesalahan lalulintas jalan raya hasil daripada 2,533 operasi penguatkuasaan yang telah dijalankan. Manakala sehingga April tahun 2022, sebanyak 3,545 kesalahan lalulintas jalan raya telah direkodkan hasil daripada 486 operasi Penguatkuasaan.

9. 5 dari 10 kesalahan-kesalahan utama yang direkodkan pada tahun 2021 sehingga suku pertama tahun 2022 adalah seperti berikut:
i. Memasang tabir/ sunshade gelap;
ii. Mengubahsuai kenderaan daripada yang asal;
iii. Tidak memakai tali pinggang keselamatan semasa memandu;
iv. Lesen Memandu mansuh; dan
v. Parking bukan tempat yang dikhaskan.

Penutup

10. Dikesempatan ini jua, pihak MKKJR tidak lupa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk melaporkan atau mengongsikan sebarang maklumat berkaitan kesalahan lalulintas dan keselamatan jalan raya melalui Talian Darussalam 123 atau melalui WhatsApp iaitu 8333123. Mudah-mudahah dengan kerjasama ini akan dapat membantu pihak MKKJR mengambil tindakan segera demimengurangkan dan mengelakkan kemalangan jalan raya daripada berlaku.

11. Akhir sekali, MKKJR ingin menasihatkan orang ramai untuk sentiasa meningkatkan keselamatan semasa berada di jalan raya dengan mematuhi undang-undang dan peraturan lalulintas yang telah ditetapkan dan memastikan kenderaan sentiasa berada di dalam keadaan yang selamat demi menjaga keselamatan bersama dan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.


Attachments