Majlis
Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) dengan kerjasama Heroes Event
Management telah mengadakan promosi bagi aktiviti yang bakal
berlangsung, iaitu The Remembrance : Walk, Run, Cycle 2019 yang
merupakan satu lagi kempen yang disusun sepanjang Minggu Keselamatan
Jalan Raya Sempena Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Jalan
Raya 2018.
Acara promosi tersebut diadakan di ruang legar, Giant Tasek Rimba, di sini.
Promosi
diselajurkan dengan mengajak orang ramai untuk berikrar supaya memandu
tidak melebihi had laju; tidak menggunakan telefon bimbit semasa
memandu; memakai tali pinggang keledar semasa memandu; tidak memandu di
bawah pengaruh alkohol dan ubat-ubatan yang menghayalkan; memastikan
tayar kenderaan sentiasa dalam keadaan yang baik; awas dan berhati-hati
terhadap pengguna jalan raya berisiko tinggi yang lain dan memakai topi
keledar semasa menunggang motosikal dan basikal serta yang penting juga
ialah berikrar bahawa keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab
bersama.
Hadir
bagi sama-sama mendukung acara tersebut ialah Pengerusi Brunei
Insurance and Takaful Association (BITA) selaku Duta (Ambassador) MKKJR,
Awang Haji Osman bin Haji Md. Jair yang juga turut memberikan
penerangan kepada pengunjung-pengunjung yang hadir.
Turut
sama menjayakan acara ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian
Perhubungan, Dr. Awang Haji Supry bin Haji Awang Ladi selaku Setiausaha
MKKJR berserta Pegawai-Pegawai Kementerian Perhubungan dan Sekretariat
MKKJR.
Promosi
pada sebelah petang itu merupakan usaha awal bagi mengalu-alukan orang
ramai untuk menyertai acara The Remembrance: Walk, Run, Cycle yang akan
berlangsung pada minggu pertama bulan Februari 2019.
Acara
ini juga merupakan inisiatif berterusan MKKJR dalam usahanya untuk
meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya, terutama dalam
memberi dorongan kepada orang ramai agar menanamkan sifat keprihatinan
dan menghormati pengguna jalan raya yang lain, khususnya pemandu
kenderaan, para penunggang motosikal, basikal, pelari dan pejalan kaki
di jalan raya. |