Sign In
portfolio web templates

Term of References


1.    PENDAHULUAN

      1.1    Terma Rujukan ini digelarkan sebagai Terma Rujukan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) Negara Brunei Darussalam.

      1.2    “Majlis” bermakna Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya Brunei Darussalam.

     1.3    Majlis ini beralamat di Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Jalan Menteri Besar, Bandar Seri Begawan atau tempat-tempat lain yang akan ditentukan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi dari masa ke semasa.


2.    TUJUAN

Tujuan Majlis ini adalah seperti berikut:

      2.1    Menyembahkan cadangan dan sokongan dasar-dasar & strategi-strategi menangani isu-isu keselamatan jalanraya kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi demi mempertingkatkan lagi tahap keselamatan jalan raya di Negara Brunei Darussalam;


      2.2    Memberigakan dan mendidik mengenai segala aspek hal ehwal keselamatan kepada semua pengguna-pengguna jalan raya dan lapisan masyarakat di negara ini melalui media masa dan saluran-saluran yang bersesuaian dengan usahasama semua agensi-agensi yang berkenaan termasuk syarikat-syarikat swasta, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGOs) dan masyarakat akar umbi;


3.    MATLAMAT

     3.1    Mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di peringkat negara khusus bagi kadar kehilangan nyawa dan kecederaan yang meliputi semua pengguna jalan raya termasuk pengguna yang terdedah/berisiko tinggi (vulnerable road users).

     3.2    Meningkatkan tahap kesedaran dan kepekaan dikalangan pemandu-pemandu serta pengguna jalan raya yang lain dengan mengutamakan pemanduan dan pergerakan yang selamat dan berhemah.


4.    PENAUNG

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna bintit Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien.


5.    PENGERUSI & TIMBALAN-TIMBALAN PENGERUSI

      5.1     Pengerusi Majlis ini ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

      5.2    Timbalan Pengerusi I ialah Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan.

      5.3    Seboleh-bolehnya Pengerusi akan mempengerusikan setiap mesyuarat Majlis.

              5.3.1    Semasa ketiadaan Pengerusi di satu mesyuarat, Timbalan Pengerusi akan dipertanggungjawab untuk mempengerusikan mesyuarat tersebut

             5.3.2    Dengan ketiadaan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi di satu mesyuarat, maka orang yang akan mempengerusikan mesyuarat itu hendaklah dipilih di kalangan ahli-ahli tetap.


6.    SETIAUSAHA

Setiausaha Majlis ialah Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.


7.    URUSETIA

Diketuai oleh Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat dan Urusetia MKKJR ialah terdiri dari Pegawai Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dibawah urustadbir Pejabat Timbalan Setiausaha Tetap [Pengangkutan, Penyelidikan dan Perkembangan], Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi


8.    KEAHLIAN

       8.1    Majlis ini mempunyai ahli-ahli seperti berikut:-

       (i)    Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad, Ahli Majlis Mesyuarat Negara;
       (ii)    Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei
       (iii)    Setiausaha Tetap (Media & Kabinet), Jabatan Perdana Menteri;
       (iv)    Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri;
       (v)    Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan
       (vi)    Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan;
       (vii)    Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan;
       (viii)    Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
       (ix)    Pengarah Pengangkutan Darat;
       (x)    Wakil Tetap, Pejabat Peguam Negara;
       (xi)    Pengarah Urusan Syarikat Minyak Shell Brunei Sendirian Berhad;
       (xii)    Pengerusi Persatuan Peniaga Automobil Brunei (BATA);
       (xiii)    Pengerusi “Brunei Insurance and Takaful Association” (BITA);
       (xiv)    Pengarah “Centre for Transport Research” (CfTR), Universiti Teknologi Brunei;


      8.2    Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Pengerusi Majlis diberi kuasa melantik ahli baru yang difikirkan bersesuaian sebagai ahli tambahan jika perlu.


      8.3    Majlis diberi kuasa menjemput hadir Ketua-Ketua Jabatan atau wakil, pihak perseorangan atau perwakilan dari badan-badan serta pertubuhan awam ke mesyuarat Majlis iaitu apabila Majlis memikirkan kehadiran yang berkenaan itu diperlukan.


9.    MESYUARAT

      9.1    Mesyuarat hendaklah diadakan sekali dalam sebulan atau pada sebarang masa yang ditetapkan oleh Pengerusi dari masa ke semasa.

      9.2    Mesyuarat hendaklah dihadiri oleh ahli yang dilantik atau wakil yang setaraf dengan jawatan ahli yang dilantik yang boleh membuat keputusan bagi pihak ahli yang dilantik.


10.    PEMBERITAHUAN MESYUARAT DAN KORUM

      10.1    Setiausaha hendaklah memberikan notis bertulis sekurang-kurangnya dua (2) minggu sebelum Mesyuarat Majlis diadakan. Walaubagaimanapun, mesyuarat tergempar bolehlah diadakan dalam jangka masa yang kurang dari dua (2) minggu.

        10.2    Sepuluh (10) orang ahli (tidak termasuk Pengerusi dan Setiausaha) akan membentuk satu korum dalam Majlis ini.


11.    LANTIKAN JAWATANKUASA ATAU KUMPULAN TINDAKAN

Majlis diberikan kuasa melantik jawatankuasa atau kumpulan tindakan secara “ad hoc” dengan kuasa untuk memilih ahli-ahli yang bersesuaian.


12.    PERUBAHAN KEPADA TERMA RUJUKAN

Perubahan kepada Terma Rujukan ini hendaklah dibuat oleh Majlis di sebarang mesyuarat yang diadakan.