Sign In
portfolio web templates

Pameran Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya semasa Acara Brunei Smart Mobility Expo’23

08/12/2023
https://www.mkkjr.gov.bn/Images1/2023/BSME/BSME.jpg
​Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi telah berkenan melancarkan (i) E-book Highway Code dan juga (ii) Kajiselidik Pengangkutan Bas Awam di Pameran Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) semasa acara Brunei Smart Mobility Expo’ 23 pada 8 Disember 2023 bertempat di Dewan 1, BRIDEX International Convention Centre, Jerudong. 

Turut hadir menyaksikan pelancaran tersebut ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew Bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Mulia Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) selaku Ahli MKKJR, dan Yang Mulia Awang Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) selaku Setiausaha MKKJR. 

Brunei Smart Mobility Expo ’23 adalah anjuran bersama Syarikat Pemasaran Minyak Brunei Shell Sendiran Berhad dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) sempena Festival Disember Brunei Darussalam 2023. 

E-book Highway Code 

Highway Code (HWC) dalam bentuk elektronik yang dilancarkan adalah panduan kod jalan raya edisi terkini yang mengandungi lima (5) bahagian iaitu Papan Tanda Lalulintas Jalan Raya; Tanda Lalulintas Jalan Raya; Isyarat Lalulintas Jalan Raya; Akta dan Peraturan Lalulintas Jalan Raya; dan Peraturan Memandu dan Tingkahlaku Pemandu. 

Objektif mengadakan HWC edisi terkini tahun 2023 ini, selain daripada tujuan utamanya untuk mengemaskini perisiannya, ianya dihasratkan untuk menjadi sebagai bahan rujukan dan pembelajaran dengan maklumat-maklumat yang relevan dan terkini, dan setentunya sebagai panduan pemandu atau pengguna-pengguna jalan raya memahami akan aspek-aspek keselamatan dan seterusnya untuk mengamalkan pematuhan keatas peraturan-peraturan jalan raya semasa memandu. Edisi HWC ini mengandungi hal ehwal peraturan jalan raya yang berkaitan dengan penambahan maklumat-maklumat mengenai papan-papan tanda lalulintas jalan raya (road traffic signs) dan tanda-tanda Jalan (road markings) yang sedia ada dan baharu. Dalam masa yang sama, edisi HWC terkini ini juga menekankan hal ehwal tingkahlaku pemandu semasa memandu di jalan raya. 

Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) akan melaksanakannya penggunaan edisi terkini HWC ini secara berperingkat, iaitu bagi peringkat permulaannya diberigakan dan disalurkan kepada Sekolah-Sekolah Memandu untuk digunapakai dalam pembelajaran latihan dan ujian memandu, dan peringkat seterusnya adalah bagi orang ramai mengakses edisi terkini HWC ini pada suku pertama tahun 2024. 

Kajiselidik Pengangkutan Bas Awam 

Disamping itu jua, perkembangan, perancangan dan pendekatani awal mengenai Pengangkutan Bas Awam di Negara Brunei Darussalam juga turut dikongsikan semasa pameran tersebut. Ianya adalah sebagai salah satu inistiatif Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) dalam mendapatkan pandangan dan input daripada pelbagai pihak-pihak berkepentingan kearah menyusun strategi jangka panjang dalam mewujudkan sistem kesalihubungan yang cekap, dan mudah diakses bagi memudahcara mobiliti setiap lapisan rakyat dan penduduk. 

Secara amnya kajiselidik tersebut adalah untuk memahami keperluan pengangkutan awam dan meningkatkan lagi kefahaman serta pandangan orang ramai mengenainya. Selain daripada cadangan untuk meningkatkan ketersambungan dan kebolehpercayaan rangkaian laluan teras (core network routes) perkhidamtan bas awam ianya juga dicadangan dapat dilengkapi dengan perkhidmatan pengangkutan atas permintaan (ondemand transport) secara berkongsi tumpangan mahupun persendirian dengan memanfaatkan teknologi e-hailing. 

Kajiselidik ini juga akan dikomplemen dengan makklumat-maklumtan yang diperolehi daripada pihak industri dan penyedia perkhidmatan melalui proses Permintaan Maklumat (Request for Information) yang juga sedang berjalan. 

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, turut menyaksikan secara langsung (livefeed) Smart Mobility Operation Cloud (SMOC) yang mana dapat menyediakan beberapa maklumat, antaranya adalah kedudukkan dan pergerakan bas secara langsung; anggaran masa ketibaan bas di perhentian bas secara langsung; dan statistik penumpang bas dan laluan. SMOC ini adalah salah satu projek rintis Sistem Maklumat Bas Penumpang yang telah dilancarkan pada 3 Disember 2022 sehingga kini dengan kerjasama diantara Kemementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Ministry of Land, Infrastructure, Transport and Tourism (MLIT), Japan serta Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) melalui program Smart City yang disokong oleh Japan ASEAN Mutual Partnership (Smart JAMP) di bawah ASEAN Smart Cities Network (ASCN). 

Pameran Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) 

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR), juga turut menyaksikan usaha berterusan daripada pihak MKKJR dalam meningkatkan keselamatan penggunapengguna di jalan raya sepertimana kegiatan-kegiatan Keselamatan Jalan Raya yang menfokuskan kepada kaedah-kaedah pengunaan teknologi yang telah dilaksanakan oleh Kumpulan-Kumpulan Tindakan MKKJR iaitu Kumpulan Tindakan Technical dan Infrastructure (KTTI); Kumpulan Tindakan Penyelidikan dan Perkembangan (KTPP); Kumpulan Tindakan Media dan Pemberigaan (KTMP); dan Kumpulan Tindakan UndangUndang dan Penguatkuasaan (KTUP) sepanjang tahun 2023 kearah mencapai Visi MKKJR iaitu “Sifar Kemalangan Jalan Raya Maut”. 

Manakala buku Edisi Kedua “The Safe and Smart Driving in Brunei Darussalam” versi Bahasa Melayu yang diterbitkan oleh Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) juga dipaparkan di pameran tersebut sebagai salah satu inisiatif di bawah Kumpulan Tindakan Undang-Undang dan Penguatkuasaan (KTUP) yang dilaksanakan di bawah “The Brunei Darussalam Road Safety Strategic Plan 2025.” Ianya bertujuan sebagai rujukan yang merangkumi sebahagian besar aspek pemanduan di Negara Brunei Darussalam dan adalah mudah diakses dan mesra pengguna untuk semua pengguna jalan raya. 

MKKJR juga turut mempaparkan Pemenang-Pemenang Pertandingan Lukisan Poster Keselamatan Jalan Raya bagi Sekolah-Sekolah Rendah Tahun 2023 Sempena Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia 2023 (WDR 2023). 

Dikesempatan ini jua, perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Darat iaitu perkhidmatan dalam talian Nomborku juga turut dipaparkan di astaka pameran MTIC dan MKKJR. Perkhidmatan ini adalah merupakan platform dalam talian bagi orang ramai yang ingin mendapatkan Tanda Pengenalan Kenderaan (TPK) melalui Tawaran Tertutup dan Tawaran Terbuka. Nomborku telah diperkenalkan kepada orang ramai pada 24 Februari 2021 dan telahpun memenangi Anugerah Perak Perkhidmatan Awam kali ke-30 pada tahun ini. 

Pameran MTIC & MKKJR ini diadakan di Brunei Smart Mobility Expo’23 selama tiga (3) hari bermula pada 8 hingga 10 Disember 2023 dari jam 10 pagi hingga 10 malam bertempat di Dewan 1 , BRIDEX International Convention Centre, Jerudong. Orang ramai adalah dialu-alukan untuk datang berkunjung ke astaka pameran MTIC & MKKJR pada tarikh dan waktu yang dinyatakan. 

Dalam kesempatan ini, MKKJR Negara Brunei Darussalam menyeru kepada semua pengguna-pengguna jalan raya supaya akan sentiasa meningkatkan kewaspadaan dengan memberikan tumpuan dan perhatian penuh ketika berada di jalan raya, dan sentiasa mengamalkan sikap memandu yang berhemah. Pemandu berhemah sentiasa mementingkan keselamatan, baik sebelum memandu ataupun semasa memandu. Semasa berada di jalan raya, seseorang pemandu hendaklah sentiasa mengamalkan sikap yang baik bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Keselamatan Jalan Raya bergantung kepada anda dan saya. 


Disediakan oleh:- 
Urusetia Majlis Kebangsaaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR); dan Jabatan Pengangkutan Darat 
21 Jamadilawal 1445/ 7 Disember 2023



Attachments