Rabu, 10 Julai 2024 - Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) ingin mengongsikan perkembangan mengenai Statistik Kemalangan Jalan Raya dari Tahun 2020 sehingga Tahun 2023 serta beberapa inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan ke arah peningkatan keselamatan jalan raya.
Rajah 1 memaparkan perangkaan Kemalangan Jalan Raya secara keseluruhan bagi tempoh empat (4) tahun kebelakangan dari tahun 2020 sehingga tahun 2023 termasuk kemalangan mengakibatkan kehilangan nyawa (fatal).
Rajah menunjukkan pada tahun 2020, jumlah kes kemalangan yang direkodkan adalah sebanyak 3,986 yang mana 11 daripadanya melibatkan kehilangan nyawa. Bagi tahun 2021, jumlah kes kemalangan menunjukkan penurunan yang telah direkodkan iaitu sebanyak 3,104 yang mana 16 daripada kes kemalangan melibatkan kehilangan nyawa. Pada Tahun 2022 jumlah kes kemalangan menurun yang telah direkodkan ialah sejumlah 2,131 tetapi terdapat peningkatan jumlah yang melibatkan kehilangan nyawa sebanyak 20 orang mangsa. Seterusnya pada tahun 2023 jumlah kes kemalangan yang direkodkan menunjukkan penurunan kepada 1,986, manakala terdapat penurunan kes kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa iatu sejumlah 14 mangsa.
Rajah 2 memaparkan perangkaan kemalangan jalan raya melibatkan kecederaan mengikut pecahan peringkat umur bagi tempoh empat (4) tahun kebelakangan dari tahun 2020 sehingga tahun 2023 mengikut kategori umur.
- Rajah menunjukkan dari tahun 2020 hingga 2023 peringkat umur yang tertinggi terlibat dengan kemalangan jalanraya sehingga mengakibatkan kecederaan adalah di antara umur 18 – 38 tahun diikuti dengan peringkat umur di antara 39 -58 tahun, dan seterusnya peringkat umur di antara 39 – 58 tahun.
- Rajah juga menunjukkan peningkatan bagi keseluruhan kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kecederaan dari tahun ke setahun.
Rajah 3 menunjukkan perangkaan Kemalangan Jalan Raya mengikut kategori jantina bagi tempoh empat (4) tahun kebelakangan.
- Rajah menunjukkan setiap tahun dari tahun 2020 hingga tahun 2023 kaum lelaki lebih ramai terlibat dalam kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kecederaan juga kehilangan nyawa berbanding kaum wanita (perempuan).
Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya serta pihak-pihak berwajib telah mengenalpasti di antara punca kes yang melibatkan kehilangan nyawa antaranya ialah tidak menumpukan perhatian sepenuhnya ketika memandu dan juga tidak mematuhi peraturan lalulintas jalan raya seperti memandu lebih daripada had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak berhenti ketika lampu isyarat merah dan tidak menggunakan tali pinggang keselamatan.
Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya sentiasa mengungkayahkan pelbagai inisiatif yang berterusan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang keselamatan jalan raya ke arah mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Dalam hal ini, pihak MKKJR dengan kerjasama berterusan dari agensi-agensi Kerajaan, sektor swasta dan Persatuan-Persatuan yang berkaitan akan terus mengadakan program-program dan inisiatif-inisiatif untuk meningkatkan Keselamatan Jalan Raya, antaranya adalah termasuk:-
- Mengadakan jerayawara Keselamatan Jalan Raya, operasi-operasi sepadu, sekatan-sekatan jalan raya;
- Memberi taklimat Kesedaran Keselamatan Jalan Raya melibatkan sektor Kerajaan dan juga swasta serta sekolah-sekolah;
- Mengadakan Malam Munajat, Solat Hajat, Ratib Al-Attas dan Membaca Surah Yasin untuk memohon doa kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala bagi mendapatkan keberkatan serta menghindari kemalangan jalan raya dari berlaku;
- Pemberigaan, Wawancara mengenai Kepentingan Keselamatan Jalan Raya sama ada melalui media massa, media sosial dan juga media cetak termasuk penyampaian melalui Khutbah Jumaat.
Komitmen serta usaha keras yang berterusan oleh semua pihak samada sektor Kerajaan, swasta juga orang ramai ke arah meningkatkan tahap keselamatan jalan raya amatlah diperlukan. Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya melalui agensi-agensi penguatkuasa, peraturan dan undang-undang jalan raya sekali lagi menekankan kepentingan bagi semua pengguna jalan raya, khususnya para pemandu dan pengguna jalan raya lain untuk sentiasa meningkatkan kewaspadaan, mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan jalan raya serta sentiasa bertanggungjawab dalam sama-sama meningkatkan keselamatan jalan raya.