Sign In
portfolio web templates

Munajat Khas Anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-160 kelolaan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) Sempena Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalulintas Jalan Raya Sedunia 2024

16/11/2024

“Di dalam syariat Islam, antara Doa Menaiki Kenderaan yang dianjurkan kepada kita سبحان الذي سخرلنا هذا وما كنا له مقرنين وإنا إلى ربنا لمنقلبون :ialah membacanya Terjemahannya: "Maha Suci Allah yang telah menundukkan semua ini bagi kami, padahal kami tidak mampu menguasainya, dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami". 

Doa di atas merupakan potongan ayat dari Surah Az-Zukhruf, Ayat 13. Menurut ulama-ulama Mufassirin, ayat tersebut dimulakan dengan tasbih. Ini kerana kita mensucikan Allah SWT atas nikmat yang besar yang diberikan Allah kepada kita. Bayangkan bagaimanakah nasib kita, jika hidup sehari sahaja tanpa kenderaan? Tentulah sangat sulit dan perit. 

Kemudian, Allah SWT menyatakan bahawa Allah lah yang memberikan kita keupayaan untuk mengawal kenderaan ini. Ayat ini menuntut kita menghadirkan keinsafan dalam jiwa bahawa yang mempunyai kuasa mengawal kenderaan ini hakikatnya bukanlah kita, bukan pemandu, tetapi semua itu di bawah kekuasaan Allah SWT. 

Di akhir ayat pula, Allah SWT menyatakan bahawa tempat kembali kita ialah kepada Allah. Menurut Tafsir Ibnu Kathir: Ini merupakan peringatan kepada manusia, bahawa perjalanan yang paling besar kelak ialah perjalanan akhirat. Perjalanan dunia menuju akhirat. Maka bersediasedialah untuk perjalanan itu nanti. Inilah menurut Tafsir al-Azhar, sekiranya terjadi apa-apa dalam perjalanan dunia ini, kepada Allah lah kita akan kembali, sekiranya kita selamat, maka ucapkanlah Alhamdulillah sebagai tanda syukur.” 

Perkara tersebut antara yang dikongsikan di dalam Tazkirah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak, Penolong Pensyarah Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dari Masjid Ash Shaliheen bagi menyerikan lagi Munajat Khas Anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-160 dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi kelolaan Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) Sempena Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalulintas Jalan Raya Sedunia 2024. 

Acara Munajat pada petang tadi disertai bersama oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama dari Surau Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) dari Masjid Ash Shaliheen yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.

Turut menyertai, Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, serta warga kerja di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama, dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; dan juga Ahli-Ahli Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya. Menyemarakkan lagi, guru-guru dan para pelajar dari sekolah-sekolah ugama di bawah Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, serta individu yang turut serta secara maya. 
Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Tahlil beramairamai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Abdullah bin Haji Sahat, Nazir Khas, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Surau Kementerian Hal Ehwal Ugama. 

Manakala Doa Munajat Khas dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Abdullah bin Haji Mohammad, Pengarah Urusan Haji, Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama. 

Selesai Tazkirah, bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Amirul Rashid bin Haji Wahab, Guru Ugama Tingkat II, Sekolah Ugama Kampung Mata-Mata bersama Pegawai Pengajian Islam Kawasan Brunei III, Guru-Guru dan Murid-Murid Sekolah Ugama Beribi dari Dewan Fathul Busyra Sekolah Ugama Beribi. 

Sebelum mengakhiri acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Izzat Izuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Ash Shaliheen, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Ash Shaliheen. 

-TAMAT

Disediakan, disahkan dan dikeluarkan oleh: 
Unit Perhubungan Awam Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS Kementerian Hal Ehwal Ugama Negara Brunei Darussalam 

Rujukan: KHEU/BPA/PR548/NOVEMBER2024 
Tarikh: 14 Jamadilawal 1446 bersamaan 16 November 2024



Attachments