Sign In
portfolio web templates

Kempen Derma Darah Sempena Kempen Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya “Watch Your Speed, Watch The Road”

15/09/2025
https://www.mkkjr.gov.bn/Images1/2025/September/Blood%20donation%20MKKJR/mkkjr%20blood%20donation%202025.jpg

Sebagai sebahagian daripada aktiviti Kempen Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya bertemakan "Watch Your Speed, Watch the Road", Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (RIPAS), Kementerian Kesihatan telah mengadakan Kempen Derma Darah bertempat di Pusat Beli- Belah Onecity, Jalan Utama Salambigar, Kampung Sungai Hanching, Berakas B.

Hasil daripada penyertaan orang ramai, sebanyak 58 pain darah berjaya dikumpulkan. Kehadiran masyarakat pelbagai peringkat usia dalam menjayakan kempen ini jelas mencerminkan semangat prihatin, budaya tolong-menolong serta kesedaran bersama terhadap kepentingan menderma darah demi menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan.

Turut hadir sama ialah pegawai-pegawai Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) serta ahli-ahli MKKJR yang memberikan sokongan kepada inisiatif ini. Namun demikian, penyertaan sukarela orang ramai menjadi bukti nyata bahawa kesedaran sivik dan sokongan masyarakat terhadap keselamatan jalan raya dan kesejahteraan awam semakin meningkat.

Kempen ini merupakan salah satu inisiatif MKKJR bagi menyemarakkan lagi mesej keselamatan jalan raya melalui pendekatan kebajikan dan kepedulian social. Selain membantu pihak hospital memastikan bekalan darah negara sentiasa mencukupi bagi keperluan pesakit, ia juga menggalakkan masyarakat untuk mengamalkan sikap prihatin dan tanggungjawab bersama.

Inisiatif ini turut membawa mesej simbolik bahawa sama seperti menderma darah yang mampu menyelamatkan nyawa, begitu juga dengan mematuhi peraturan lalu lintas, mengawal kelajuan dan sentiasa berwaspada di jalan raya. Setiap tindakan berhemah mampu menyelamatkan bukan sahaja diri sendiri, malah keluarga, sahabat handai dan pengguna jalan raya lain.

MKKJR komited untuk terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memperkukuh budaya keselamatan jalan raya, memupuk semangat kesukarelawanan serta meningkatkan tanggungjawab social dalam kalangan masyarakat demi melindungi nyawa dan kesejahteraan semua pengguna jalan raya.

 

Disediakan oleh:

Urusetia MKKJR & KTMP

Bahagian Keselamatan Pengangkutan

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi,

Negara Brunei Darussalam


Attachments