Sebagai sebahagian daripada program Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Sedunia bagi Tahun 2025, Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) telah mengadakan sesi forum bertempat di Royal Berkshire Hall, Tarindak d'Polo, Jerudong pada petang hari ini.
Forum tersebut menjadi platform bagi perkongsian ilmu, pandangan dan amalan terbaik dalam usaha memperkukuhkan komitmen bersama ke arah mencapai matlamat jalan raya yang lebih selamat.
Sesi pertama bertemakan “Every Life Counts: Break the Trend, Aim for Zero Fatality" telah dibentangkan oleh tiga panel, iaitu Yang Mulia Najeebah binti Pehin Datu Indera Setia Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Sulaiman, Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan, Ketua Bahagian Keselamatan Pengangkutan di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; Yang Mulia Ir. Haji Mat Darus bin Haji Abu Bakar, Pemangku Pengarah Jalan Raya di Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan dan Yang Mulia Superintendent Pengiran Omarali bin Pengiran Haji Jamaludin, Ketua Bahagian Operasi & Penguatkuasa, Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalulintas, Pasukan Polis Diraja Brunei.
Manakala sesi kedua bertemakan “SMART Shift for Shaping Safety in Heavy Vehicles" telah dibentangkan oleh dua panel, iaitu Yang Mulia Mauludnah binti Haji Mohamad Nudin, Penolong Ketua Pos Agung, Jabatan Pengangkutan Darat, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Yang Mulia Mohd Bahri bin Suhaili, Quality Assurance, Brunei Shell Marketing Co. Sdn. Bhd.
Kedua-dua sesi forum tersebut telah dikendalikan oleh Yang Mulia Nurnadhirah binti Awang Sh'minan selaku moderate.
Seramai lebih 80 orang yang terdiri daripada ahli-ahli MKKJR, pegawai-pegawai Kerajaan, wakil sektor swasta, persatuan-persatuan dan pelajar institusi pengajian tinggi telah menghadiri forum berkenaan.
Dalam hal ini, MKKJR menyeru semua pengguna jalan raya untuk memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik, mematuhi had laju yang ditetapkan, memakai tali pinggang keledar pada setiap masa, serta mengamalkan sikap berhemah dan berhati-hati ketika memandu. Pemandu turut diingatkan agar tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan mengekalkan jarak selamat, khususnya semasa cuaca buruk atau dalam keadaan lalu lintas yang padat.
Disediakan oleh:
Urusetia MKKJR
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi,
Negara Brunei Darussalam
mkkjr@mtic.gov.bn