Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) telah menyertai pameran sempena Program Ke Temburong Bisai Edisi Borneo Bike Gathering 2025, bertempat di Bangunan Kompleks Utama Bumiputera, Pekan Bangar, Daerah Temburong. Penyertaan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan MKKJR untuk memperkukuh pelaksanaan kempen keselamatan jalan raya kebangsaan bertemakan “Watch Your Speed, Watch The Road.”
Penyertaan MKKJR bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai, khususnya dalam kalangan komuniti penunggang motosikal dan pengguna jalan raya, mengenai kepentingan mematuhi had laju serta sentiasa berwaspada ketika berada di jalan raya bagi mengurangkan risiko kemalangan.
Turut hadir selaku tetamu kehormat seterusnya melancarkan pelepasan acara perjalanan konvoi sempena Program Ke Temburong Bisai Edisi Borneo Bike Gathering 2025 ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) selaku Setiausaha MKKJR.
MKKJR komited untuk terus mendekati masyarakat dalam memupuk budaya penggunaan jalan raya yang lebih selamat, berhemah dan bertanggungjawab.