Sign In
portfolio web templates

Riadah "Berbasikal Setiap Rabu Malam"

08/04/2026
https://www.mkkjr.gov.bn/Images1/2026/April/Riadah%20bebasikal%20rabu%20malam%208%20April/basikal1.jpg

​Hari Rabu, 8 April 2026 - Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) dengan kerjasama Persekutuan Basikal Negara Brunei Darussalam (BDCF) telah mengadakan aktiviti berbasikal bagi projek rintis "Riadah Berbasikal Setiap Rabu Malam" sebagai satu inisiatif berterusan dalam meningkatkan keselamatan jalan raya.

Inisiatif ini menyediakan laluan alternatif bagi aktiviti berbasikal di Daerah Brunei dan Muara, meliputi laluan di sepanjang Jalan Perdana Menteri, Jalan Ong Sum Ping, Jalan
Kebangsaan dan Jalan Menteri Besar. Laluan ini digunakan secara perkongsian bersama kenderaan lain dan dikhususkan pada setiap Rabu malam, bermula dari jam 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam.

Pelaksanaan projek rintis ini bertujuan untuk menilai kesesuaian serta keberkesanan penyediaan laluan berbasikal yang selamat melalui konsep perkongsian jalan raya dengan pengguna lain di Negara Brunei Darussalam. Cadangan laluan alternatif berbasikal bagi Bandarku Ceria (BKC) akan dimaklumkan kemudian, manakala laluan bagi daerah-daerah lain boleh digunakan oleh orang ramai bermula pada 28 Mac 2026.

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk memanfaatkan laluan-laluan yang telah disediakan ini sebagai satu usaha bersama dalam meningkatkan keselamatan serta kelancaran pergerakan di jalan raya.

Dalam pada itu, MKKJR menyeru kepada semua pengguna jalan raya untuk sentiasa meningkatkan kewaspadaan, mematuhi peraturan lalu lintas serta menghormati segala nasihat dan langkah keselamatan yang diberikan. Keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama, disiplin dan keprihatinan semua pihak.

Pendekatan "Share the Road" menekankan kepentingan sikap saling menghormati antara pengguna jalan raya, sekali gus menyumbang ke arah persekitaran jalan raya yang selamat, teratur dan harmoni untuk semua.

​Disediakan oleh:
MKKJR
Bahagian Keselamatan Pengangkutan
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi,
Negara Brunei Darussalam


Attachments